Mengapalah Dia Tidak Faham Yang Saya Tidak Mahu


"Saya tidak mahu mek"

Saya jawab sambil senyum di dalam kereta ketika mak cik berdarah patani ini datang ketuk pintu kereta saya. Biasanya memang yang menjual keropok ikan tanpa kedai ini harganya 2 kali ganda dari biasa.

Kebanyakanya mereka menunggu di petrol pump, di tepi tepi bank, luar pasar raya. Pagi dihantar van, balik tengah malam dijemput van.

Saya dan isteri baru pulang dari hospital selayang cek darah untuk baby kuning, singgah di Giant Batu Caves beli barang dapur.

Mak cik itu minta bukak pintu berkali-kali, dalam hati saya sudah mengeluh kenapa dia tidak faham yang saya tidak mahu. Saya menggeleng tanda tidak mahu sambil buat buat melayan handphone.

"Mokcik nak bagi ini pada anak ni"

Kata makcik ini dari luar pintu kereta saya sambil menunjukkan beberapa not RM1 yang berlipat-lipat ke arah baby kami dipangku isteri.

Ya Allah, begitu sekali silap andaian saya kepada beliau

Isteri saya membuka pintu menghulurkan tangan bersalam dan menerima hadiah dari orang tua ini, sambil dia mengusap kepala si kecil dia menadah tangan berdoa tanpa suara. Terus dia menjinjing kembali beg plastik penuh dengan keropok ikan berlalu pergi.

"Abanggg.. kesian lahh," kata isteri yang terus membuka tingkap panggil mak cik tadi.

"Makcik, keropok apa ada?" soal puan isteri .

"Eh, mokcik bagi duit tu bukan nak suruh anak beli, mokcik bagi sedekah tu," Jawabnya serba salah, takut kami salah anggap.

"Tidak, memang mahu makan keropok ikan parang. Ada tak?" soal isteri saya menghilangkan gelisah makcik ini.

'Terima kasih ya. alhamdulillah,' jawab makcik ini panjang, sekali lagi dia melihat si kecil dan berlalu pergi mencari rezeki yang dijanjikan.

Saya terdiam di dalam kereta, banyak kelodak dalam jiwa perlu dibersihkan. Saya lupa mak cik itu juga wanita dan ibu, ada perasaan sayang dengan anak-anak kecil, Walaupun duit jualan banyak margin untungnya pada orang atas, bukan makcik ini sendiri. Kita sebagai manusia dan muslim belikanlah air minuman, atau roti alas perut untuk mereka.

Mungkin juga lamanya dia datang ke bumi malaysia meninggalkan anak, cucu mencari rezeki sehinggakan rindu pada anak kecil tida tertahan. Sekali lagi peringatan buat saya, jangan penat memberi. - Muaz Aziz | KOTAK TV
Mengapalah Dia Tidak Faham Yang Saya Tidak Mahu Mengapalah Dia Tidak Faham Yang Saya Tidak Mahu Reviewed by Editor on 8:58 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.